Pasukan 11RAMD berjaya patahkan cubaan seludup 221 karton rokok haram

Anggota tentera melakukan pemeriksaan ke atas suspek yang cuba menyeludup keluar rokok tanpa membayar cukai.

TEBEDU, Feb 25: Cubaan seorang lelaki warga Indonesia menyeludup keluar 221 karton rokok pelbagai jenama berjaya dipatahkan oleh pasukan tentera dari Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD) di Kampung Entubuh di sini, semalam.

Pegawai Memerintah 11RAMD, Lt Kol Salmi Istikh Ahmad berkata, lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an itu berjaya ditahan kira-kira pukul 10 pagi.

Menurutnya, sebelum itu, sepasukan anggota 11RAMD telah melaksanakan Ops Serkap di kawasan Kampung Entubuh, kira-kira pukul 7 malam.


“Selepas 15 jam menunggu kumpulan Serkap terbabit yang diketuai oleh Kapten Adis Amzar Hazari telah berjaya menahan seorang daripada dua warga Indonesia yang cuba menyeludup 221 karton rokok tanpa cukai ke Indonesia.

“Soal siasat atas warga Indonesia tersebut telah dilaksanakan; hasilnya diketahui individu terbabit mengambil upah untuk membawa rokok seludup dari Malaysia ke Indonesia dengan menggunakan laluan yang tidak sah dengan upah sebanyak RM40 sekotak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Salmi memberitahu, hasil kejayaan dan usaha pasukan yang serius dalam mengawal sempadan Malaysia-Indonesia, kumpulan serkap terbabit berjaya merampas barang anggaran berjumlah kira-kira RM12,450 dan diserahkan kepada pihak Kastam Tebedu.

Katanya, individu tersebut telah dibawa ke Balai Polis Tebedu dan diserahkan kepada pihak polis dan untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily