Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika cari udang

Keadaan sampan yang digunakan mangsa ketika melakukan aktiviti menangkap udang di Sungai Oya

MUKAH, 6 Mac: Seorang lelaki di Kampung Kuala Oya di sini yang dilaporkan hilang awal pagi tadi ketika menangkap udang dikhuatiri dibaham buaya.

Jurucakap Pusat Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kehilangan mangsa dilaporan oleh adik mangsa sekitar jam 4.11 pagi tadi.

Katanya, menurut adik mangsa, abangnya itu telah keluar untuk menjala udang di Sungai Oya kira-kira jam 1.00 pagi tadi.


“Laporan kehilangan mangsa dibuat oleh adiknya selepas ada orang kampung yang memberitahu kepada adik mangsa ada ternampak sampan abangnya yang kelihatan hampir karam di sungai tersebut.

“Bagaimanapun abangnya tidak berada di sampan berkenaan menyebabkan dia khuatir abangnya telah dibaham buaya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah diaktifkan bagi mencari mangsa,52, dengan radius pencarian pada hari ini adalah sekitar 500 meter dari lokasi sampan mangsa ditemui.

“Operasi pencarian masih diteruskan menggunakan Bot JBPM dan setakat jam 11.00 pagi tadi mangsa masih lagi belum ditemui,” katanya. -DayakDaily