Lelaki digigit anjing liar selepas sesi minum di Pujut 7

Kelihatan mangsa selepas serangan menahan kesakitan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 3 Ogos: Seorang lelaki cedera di bahagian buku lali selepas digigit anjing liar dihadapan sebuah kedai di Pujut 7 malam Sabtu (1 Ogos).

Menurut Ketua Jawatankuasa Penduduk (JKP) Miri , Malateh Mahmud, mangsa berusia 37 tahun itu diserang anjing liar ketika berjalan di kawasan berkenaan pada kira-kira 10.35 malam.

“Mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas sesi minum bersama rakan-rakannya sebelum kejadian serangan itu,” ujarnya.

Satu laporan ke pihak unit rabies Majlis Bandaraya Miri telah dibuat pada malam tersebut oleh JKP Miri.

Kesan darah di lokasi kejadian.

Menurut seorang saksi kejadian, sebaik tiba dikawasan itu, mangsa mengusap seekor anjing liar yang kebetulan melimpas sebelum diserang.

Beliau menambah, anjing berkenaan tiba-tiba ‘naik minyak’ lalu mengigit buku lali kaki mangsa sehingga berdarah.

Saksi kemudian terus menghubungi pihak JKP untuk bantuan.

Pergelutan berlaku sebelum haiwan berkenaan melarikan diri.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, beberapa penduduk meluahkan kerisauan terhadap kehadiran sekumpulan anjing liar di kawasan berkenaan dan ramai yang berharap pihak berwajib dapat melakukan sesuatu sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa gigitan anjing liar. — DayakDaily