Lelaki cuba bunuh diri terjun dari pintu gerbang berjaya dipujuk turun

Anggota bomba dan polis berjaya memujuk lelaki disyaki cuba bunuh diri untuk turun, selepas lebih dua jam memujuk lelaki tersebut.
Advertisement

KUCHING, Jan 20: Cubaan seorang lelaki untuk membunuh diri dengan terjun dari atas pintu gerbang berjaya digagalkan oleh pasukan bomba dengan dibantu anggota polis serta penduduk Kampung Muara Tebas di sini hari ini.

Selepas lebih dua jam dipujuk, lelaki berusia 30-an itu kemudian membatalkan niatnya untuk menamatkan riwayatnya.

Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.45 petang sebelum pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut empat minit kemudian.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, hasil maklumat daripada pengadu, terdapat seorang lelaki yang tidak memakai baju telah memanjat pintu gerbang di kampung tersebut.

Katanya, tidak cukup dengan itu, pengadu mendakwa lelaki terbabit mengugut untuk bunuh diri dengan terjun dari atas pintu terbang setinggi kira-kira 15 meter berkenaan.

Kelihatan seorang lelaki disyaki cuba bunuh diri berdiri di atas pintu gerbang.

“Pusat gerakan operasi bomba kemudian mengarahkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, sembilan anggota bomba yang hadir di lokasi mendapati lelaki berkenaan masih berdiri di atas pintu gerbang di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Tiong memberitahu, setelah lebih dua jam memujuk lelaki itu, usaha tersebut akhirnya berhasil apabila dia bersetuju untuk turun ke bawah.

Jelasnya, lelaki tersebut kemudian diturunkan dengan menggunakan tangga jentera bomba.

“Lelaki yang tidak mengalami sebarang kecederaan itu kemudian dibawa pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi. – DayakDaily

Ends

Pic 1-3: Kelihatan seorang lelaki berdiri di atas pintu gerbang disyaki cuba bunuh diri.

Advertisement