Gara-gara cuai, lelaki maut dalam nahas jalan raya

Keadaan kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan Nissan Navara.

SIBU, Jan 20: Tindakan cuai seorang lelaki yang menunggang motosikal tanpa memberikan tanda isyarat masuk ke simpang akhirnya mengundang padah apabila dia maut dalam satu kemalangan di Jalan Sungai Bidut di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu mengakibatkan mangsa, Zurairi Yusuf, 40, meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal polis mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara dan motosikal jenis Honda Wave.

Menurut beliau, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Jalan Sungai Bidut di sini.

“Namun, malang menimpa mangsa apabila dia dirempuh oleh Nissan Navara ketika dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba.

“Impak rempuhan kuat telah mengakibatkan mangsa tercampak jatuh ke atas jalan raya dan mengalami cedera parah pada anggota badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu Nissan Navara iaitu seorang lelaki berusia 30 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jelasnya, polis sudah merakam keterangan daripada pemandu itu, manakala mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. ā€” DayakDaily