Lelaki ceroboh rumah pegawai polis diberkas

Suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.

By Juetila Ozzy

KUCHING, 24 Nov: Padah menimpa seorang lelaki apabila tertangkap kerana menceroboh masuk sebuah rumah milik seorang pegawai polis di Taman Sourabaya, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata kejadian berlaku sekitar jam 3.30 pagi apabila pegawai polis terbabit terjaga dari tidur selepas dikejutkan dengan bunyi dari arah pintu utama rumahnya.


Jelasnya, pegawai terbabit kemudian terus bangun untuk memeriksa dan mendapati suspek telah masuk ke dalam rumahnya.

“Suspek kemudian terus ditangkap sendiri oleh pegawai polis terbabit dan kemudian dia dibawa ke Balai Polis untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 1 tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Awang Din menambah siasatan lanjut mendapati suspek juga positif dadah jenis Mathamphetamine dan mempunyaj tiga rekod jenayah lampau.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kegiatan jenayah dimohon untuk melaporkan terus ke takin 082-244444 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Saya menyeru agar masyarakat dapat terus memberikan kerjasama kepada polis,” katanya.— DayakDaily