Oleh Dean Adam
SONG, Ogos 1: Seorang lelaki cemas apabila besi panah senapang ikan buatan sendiri tercucuk di bahagian lehernya dalam satu kejadian di sini malam tadi.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan untuk mendapatkan khidmat khas daripada Klinik Kesihatan Daerah Song berhubung kejadian itu pada pukul 11.29 malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song kemudian bergegas ke klinik kesihatan tersebut untuk melakukan operasi khas memotong besi panah senapang ikan itu.
Apabila tiba, anggota bomba mendapati besi senapang ikan sepanjang 0.6 meter masih tercucuk pada leher mangsa.
“Mangsa masih dalam keadaan sedar dan telah diberi bius oleh petugas klinik bagi menahan kesakitan.
“Anggota bomba kemudian bertindak menggunakan alat pemotong khas untuk memotong besi panah senapang ikan itu,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, pasukan bomba mengambil masa kira-kira dua minit untuk memotong dan mengeluarkan besi yang tercucuk pada leher mangsa.
Katanya, mangsa yang dalam stabil kemudian diserahkan kepada petugas klinik untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 11.39 malam,” ujarnya lagi. — DayakDaily