This Content Is Only For Subscribers
SARIKEI, 23 Jun: Seorang lelaki cedera apabila kenderaan dinaikinya terbabas lalu terbalik selepas berlanggar dengan sebuah lori, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Pan Borneo berdekatan Sarikei sekitar jam 11.35 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, didapati sebuah Toyota Land Cruiser telah jatuh lima kaki dari jalan raya akibat berlanggar dengan sebuah lori 10 tan.
“Mangsa masih berada di dalam kereta dan telah diberikan rawatan awal oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Seterusnya pihak bomba mengeluarkan mangsa dari dalam kereta dan diserahkan kepada pihak KKM.
“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang dan telah diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut,” katanya.
Pasukan bomba bertolak balik ke balai selepas memastikan keadaan selamat dan terkawal. — DayakDaily