This Content Is Only For Subscribers
TANJUNG MANIS, 5 Sept: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Water Work, Kampung Jerijeh di sini ditemui meninggal dunia.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.46 petang semalam.
Pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis terus ke kejadian untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai kejadian tersebut.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini bermula dari jam 8.45 pagi tadi dengan dibahagikan kepada empat kumpulan dan radius percarian sekitar 1 kilometer (km) dari Pusat Kawalan Bomba (PKB).
“Pada jam 11.40 pagi, mangsa telah berjaya dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri iaitu kira-kira 1 kilometer dari Jalan Utama dan PKB.
“Mangsa kemudian dibawa ke jalan utama dan disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa, Affendi Morsidi, 55 tahun dikatakan pergi ke hutan tersebut mencari kayu untuk mengantung bendera sekitar jam 11 pagi semalam.
Bagaimanapun, sehingga lewat petang mangsa masih belum pulang menyebabkan keluarganya risau lalu membuat laporan kehilangan mangsa.
“Keluarga mangsa menyedari dia belum pulang dan mendapati motosikal yang digunakan mangsa masih berada di hutan tersebut,” katanya.
Laporan kehilangan mangsa terus dibuat selepas itu. — DayakDaily