Lelaki berusia 94 tahun meninggal dunia selepas dua hari bertarung nyawa akibat kemalangan

Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan.
Advertisement

BINTANGOR, Jan 14: Seorang lelaki warga emas disahkan meninggal dunia hari ini selepas lebih 48 jam menerima rawatan kecemasan susulan terlibat dalam kemalangan pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, mangsa, Bakar Bakir, 94, berasal dari Rumah Panjang Tuton, Nanga Betan Buku, Pakan disahkan meninggal dunia di Hospital Sarikei pada pukul 2 pagi.

Katanya, ketika kejadian itu, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Sarikei ke Pakan dengan menunggang sebuah motosikal.

Advertisement

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kemalangan, mangsa yang dikatakan hendak membelok ke simpang telah bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Impak rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya lalu mengalami kecederaan parah pada anggota badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement