Lelaki, 50, diberkas polis, disyaki panjat pagar rumah hanya berseluar dalam

Kelihatan suspek (dua dari kiri) yang ditangkap.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 25 Julai: Tindakan seorang lelaki warga tempatan separuh bogel menceroboh masuk sebuah rumah di Desa Indah 3 Permyjaya Tudan, mengundang padah apabila dia ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Kejadian dilaporkan berlaku pada malam Khamis (22 Julai) sekitar jam 11 malam.

Difahamkan, suspek berusia 50 tahun itu dilaporkan telah masuk ke dalam kawasan parkir sebuah rumah dengan memanjat pagar hanya memakai seluar dalam berwarna hitam.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kehadiran lelaki itu disedari pemilik rumah berkenaan, seorang surirumah berusia 52 tahun yang ketika itu sedang beristirahat.

Pengadu segera memaklumkan ahli keluarganya yang lain.

Menurut sumber, suspek kelihatan berlegar-legar di dalam kawasan parkir pengadu lebih dari 60 minit sebelum bertindak beredar.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu.

Bertindak dari laporan tersebut, polis telah menahan suspek di rumahnya yang kebetulan terletak tidak jauh dari rumah pengadu.

Motif kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh. — DayakDaily