Pemuda ceroboh masuk kawasan pakir kapal terbang telah ditahan

Suspek (dua dari kanan) ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 Jun: Seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas bertindak menceroboh masuk ke kawasan pakir (Apron Lapangan Terbang) Kapal terbang di Lapangan Terbang Miri petang Jumaat (3 Jun).

Suspek berusia 30 tahun itu diberkas anggota keselamatan di kawasan Lapangan Terbang Miri sekitar jam 3.30 petang selepas dia dilihat merayau di kawasan larangan tersebut.


Difahamkan, sebelum penahanan itu, imej suspek menceroboh masuk ke kawasan parkir kapal terbang turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, suspek kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis oleh anggota keselamatan Lapangan Terbang Miri untuk tindakan lanjut.

Pihak polis sedang melakukan siasatan lanjut bagaimana suspek boleh meloloskan diri masuk ke kawasan larangan terbabit.

Suspek kini sedang ditahan mengikut Seksyen 4 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan. — DayakDaily