Lee: Unifor jaga kepentingan dan kebajikan agama lain

Lee (empat dari kiri) pada Majlis Perasmian Gereja SIB Kampung Muhibbah, Miri. Foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 22 Nov: Rakyat Sarawak tidak mempunyai masalah dari sudut agama dan Kerajaan Sarawak juga membantu dalam semua agama di negeri ini, menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Lee berkata ini dapat dilihat dengan penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) bagi membantu semua agama selain agama Islam.

“Unifor ditubuhkan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 2017 untuk menjaga kepentingan dan kebajikan agama lain di Sarawak.

Advertisement

“Melalui Unifor, Kerajaan Sarawak telah menetapkan bajet khas untuk membantu agama lain seperti dalam pembinaan rumah ibadat mereka dan pembaikan mahupun menaiktaraf kemudahan.

“Sarawak juga dikenali sebagai negeri contoh di negara ini dari segi keharmonian agama dan perpaduan rakyat,” katanya pada Majlis Perasmian Gereja SIB Kampung Muhibbah pada Sabtu (20 Nov).

Pembinaan Gereja SIB Kampung Muhibbah membabitkan kos RM300,000 telah bermula dibina pada Mei 2015 dan telah siap serta diserahkan kepada Jawatankuasa Gereja pada 30 Jun 2021 ini.

Sementara itu, Pengerusi Gereja, Diaken Ahas Laing yang mewakili jawatankuasa gereja menzahirkan setinggi terima kasih kepada Lee di atas usaha untuk membantu dan menjadi pendorong kepada kemajuan projek pembinaan gereja ini.

“Kami berterima kasih dan bersyukur kepada usaha gigih Lee dalam usaha untuk meminta pihak yang bertanggungjawab termasuk Jabatan Tanah dan Survei, Sarawak Energy Berhad dan LAKU (LAKU Management Sdn Bhd) untuk membantu dan mempercepatkan proses permohonan sepanjang pembinaan gereja ini,” katanya. — DayakDaily

Advertisement