PKR berhasrat jadikan Kemena hub pertanian

Jame Stephen

KUCHING, 22 Nov: Parti Keadilan Rakyat(PKR) Sarawak berhasrat untuk menjadikan kawasan Kemena dan Bintulu sebagai hub pertanian serta memastikan sistem pertanian lestari dimajukan di negeri ini.

Pengarah Komunikasi PKR Sarawak Jame Stephen menerusi satu kenyataan berkata, ia akan diberi keutamaan jika PKR diberi mandat untuk memerintah oleh rakyat selepas pilihanraya negeri nanti.

Katanya, usaha tersebut penting bagi mememnuhi keperluan rakyat dan mengeksport hasil pertanian ke luar negara.


“PKR juga bertekad untuk membangunkan ekonomi nelayan iaitu dalam bidang pemprosesan hasil laut, contohnya belacan dan cencaluk Bintulu yang terkenal serta ikan dan udang kering.

“Hasil laut Bintulu berkualiti tinggi dan pasti mendapatkan pasaran yang baik di peringkat antarabangsa,” katanya.

Tambah Jame, PKR juga bertekad untuk menjadikan Bintulu satu destinasi pelancongan yang menarik melalui pembangunan ‘homestay’ yang melibatkan masyarakat kampung dan rumah panjang.

Menurut beliau, kawasan perkelahan mampu menjadikan Bintulu sebagai destinasi tarikan istimewa kepada seluruh masyarakat Malaysia.

Jame yang merupakan anak jati Kemena berasal dari Sebauh juga yakin aktiviti pertanian dan nelayan pasti dapat dibangunkan sebagai tarikan ‘ecotourism’ di Bintulu. — DayakDaily