Golongan profesional, ilmuwan di Katibas disaran tubuh Biro Pembangunan Sosioekonomi

Nanta (tiga dari kanan) hadir ke Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Sepawi Nanga Sesawa, Kapit semalam (21 Nov 2021). Foto: Ukas

KUCHING, 22 Nov: Golongan profesional dan ilmuwan di Katibas disaran agar mengembeleng usaha menubuhkan Biro Pembangunan Sosioekonomi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), MP Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi yakin ia mampu memajukan ekonomi penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Penubuhan biro ini sangat mustahak terutamanya dalam membangunkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menggunakan teknologi terkini dalam sektor pertanian,” katanya.


Nanta berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Lawatan Kerja Menteri di Rumah Sepawi Nanga Sesawa di Kapit semalam.

Sehubungan itu, tegasnya, penting bagi penduduk di Katibas bersatu memberi mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) akan datang bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan itu.

Katanya, perancangan penubuhan biro berkenaan akan dilaksanakan sekiranya GPS diberi mandat di Katibas pada PRN12 nanti.

Dari segi peruntukan projek kawasan Kapit, Nanta yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata beliau sedaya upaya berlaku adil kepada setiap DUN di bawah kawasan parlimennya.

Beliau juga menyeru supaya rakyat tidak terpedaya dengan hasutan dan fitnah pihak pembangkang di media sosial sambil menambah pembangkang hanya akan wujud semasa musim pilihan raya sahaja dan lenyap selepas itu.

Dalam majlis tersebut, sebanyak RM400,000 peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diagihkan kepada 34 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Penghulu Baleng Jengen.

Pada sebelah pagi, Nanta hadir bagi merasmikan tapak stesen minyak Smart Stream, salah satu daripada projek Koperasi Song Kapit Berhad.

Menurutnya, Stesen Smart Stream ini merupakan yang kedua di Sarawak dan beliau amat terima kasih kepada syarikat itu kerana memberi kepercayaan kepada Koperasi Song Kapit Berhad untuk membina stesen minyak berkenaan.

Beliau dalam pada itu berharap supaya pihak koperasi terus maju kehadapan dan projek stesen minyak tersebut mampu dilaksanakan dengan jayanya dan memberi manfaat kepada rakyat setempat.

Nanta kemudiannya menyerahkan replika cek modal pusingan berjumlah RM700,000 daripada SKM kepada Koperasi Song Kapit Berhad. — DayakDaily