Lee tinjau projek melebar jalan dan kawasan parkir RRSS

Lee (tengah) bersama Law (kiri baju biru) ketika lawatan meninjau projek tersebut.

Oleh Jaythalee K

MIRI, 8 Feb: Sebuah lampu isyarat pejalan kaki telah dicadangkan untuk dipasang berhadapan kawasan Sekolah Menengah Riam Road (RRSS) di sini bagi menjamin keselamatan pelajar, guru dan ibu bapa menyeberangi jalan terutama ketika waktu puncak.

Difahamkan, sekolah tersebut mempunyai lebih 2,000 pelajar selain daripada guru.


Perkara ini telah dinyatakan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin hari ini selepas mengadakan sesi lawatan ringkas meninjau projek melebar jalan dan kawasan parkir sekolah tersebut.

Projek tersebut menelan belanja sebanyak RM500,000 dan telah siap dua minggu yang lalu.

“Lintasan pejalan kaki berisyarat bermaksud lintasan pejalan kaki yang mempunyai kemudahan lampu isyarat dan butang hijau yang boleh ditekan oleh pejalan kaki yang hendak melintas di kawasan tersebut, dan ini dapat mengurangkan risiko bahaya pelajar dan guru serta ibu bapa,” kata Lee.

Mengulas mengenai projek pembinaan ruang parkir kenderaan dan melebar jalan di sekolah itu yang telahpun siap, beliau berkata inisiatif tersebut telah dibuat bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan sekolah tatkala waktu puncak.

“Laluan utama memasuki sekolah ini adalah agak sempit dan menimbulkan bahaya bukan sahaja kepada anak-anak sekolah, malah pengguna jalan raya yang lain terutama semasa waktu puncak.

“Maka sebab itu, selepas lawatan saya tahun lepas ke sekolah ini, saya telah meminta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Miri untik melakukan kerja-kerja melebar jalan dan membina kawasan parkir kenderaan ini,” jelasnya.

Turut hadir adalah Pengerusi Bersama RRSS Datuk Seri Law Kiu Kiong.

Pada lawatan ini juga, Lee menyerahkan sijil siap pembinaan projek kepada Law. — DayakDaily