Awang Tengah gesa peniaga PKS mohon bantuan BKSS

Awang Tengah (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima di Lawas.

KUCHING, 8 Feb: Para pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disaran agar memohon bantuan dibawah pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang(BKSS) bagi membantu mereka menghadapi cabaran dalam tempoh pandemik Covid-19.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kerajaan telah menyediakan lima pakej BKSS yang bernilai RM3.14 bilion demi kebajikan rakyat termasuk golongan peniaga.

“Baru-baru ini, ketua menteri juga telah meluluskan RM141.7 juta di bawah pakej BKSS 5.0 dan diharap ia dapat membantu mana-mana perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian dalam ucapannya di majlis penyerahan sumbangan sempena Tahun Baru Cina di Lawas, baru-baru ini.

Beliau juga mengingatkan semua agar mematuhi segala prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan ketika sambutan Tahun Baru Cina yang akan menjelang tidak lama lagi.

“Kita seharusnya sedar dan faham bahawa virus Covid-19 ini masih ada di sekeliling kita. Justeru kita haruslah sentiasa mematuhi segala SOP agar perkara yang tidak diingini seperti dijangkiti wabak ini tidak berlaku,” ujar beliau.

Jelas Awang Tengah yang juga Adun Bukit Sari, ramai orang yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19 dan ada yang telah kehilangan pekerjaan.

Justeru katanya, dengan pematuhan SOP, usaha memerangi pandemik akan berhasil dan rakyat boleh kembali kepada kehidupan seperti biasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong dan Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang. — DayakDaily