Lee menyeru penjaja dan pengusaha bas Miri daftar sebagai penerima vaksin Covid-19

Lee (tengah) bersama Yii melawat terminal bas Pujut hari ini (4 April, 2021).

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 April: Penjaja dan pengusaha bas di sini diseru mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 dengan kadar segera demi kesejahteraan diri masing-masing.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBB Miri) berkata, suntikan vaksin tersebut percuma disediakan oleh kerajaan untuk rakyat.


“Tidak perlu takut menerima suntikan vaksin ini,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ringkas memantau pematuhan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) di Tamu Pujut Corner dan Terminal Bas Pujut pagi ini.

Lee juga terus mengingatkan masyarakat di sini untuk terus mematuhi SOP seperti mengimbas aplikasi MySejahtera, mengamalkan penjarakan sosial, dan sentiasa memakai pelitup muka setiap kali berada di luar.

“Pematuhan SOP ini penting supaya kita dapat memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di dalam komuniti,” katanya.

Lee (tengah) bersama Yii (kanan) turut melawat Tamu Pujut Corner yang terletak bersebelahan Bas Terminal Pujut.

Turut hadir menemani Lee dalam lawatan itu Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang dan Setiausaha Bandaraya Miri Morshidi Fredrick. — DayakDaily