Lebih 40 tahun kumpul guano, dua beradik kaum Penan jadikan ia sumber pendapatan

Adeng (kiri) dan Senin berehat di Pengkalan Lobang setelah berjalan sejauh 3 kilometer memikul guni guano.
Advertisement

MIRI, 13 Mac: Lebih 40 tahun berlalu, guano yang diperolehi dari Gua Niah kekal sebagai punca pendapatan bagi adik beradik kaum Penan, Senin dan Adeng Lengadang.

Senin, 54, dan Adeng, 56, berasal dari kawasan Hilir Batu Niah terlibat dengan kegiatan mengumpul guano seawal usia 15 tahun.

Guano adalah baja tahi burung layang-layang yang jatuh di lantai gua.

Advertisement

Ia sesuai digunakan sebagai baja untuk kelapa sawit serta pelbagai jenis buah-buahan dan sayur.

Kaum Penan di Niah antara masyarakat yang diberi keistimewaan dan lesen untuk mengumpul guano di Gua Niah.

Kini setelah 40 tahun berlalu, Senin dan Adeng masih bertenaga untuk memikul beban berat sekitar 70-80 kilogram baja guano sejauh 3 kilometer dari Gua Niah ke Pengkalan Lobang.

Ditemui DayakDaily semalam, Senin menceritakan bahawa pekerjaan mengumpul guano tidak susah, cuma memerlukan tenaga dan lutut yang kuat.

“Kita mewarisi pekerjaan ini dari bapa, yang dahulunya dimulakan oleh datuk atau mungkin generasi terdahulu keluarga.

“Banyak guano di Gua Niah, ia sentiasa ada dan kita cuma perlukan tenaga dan kerajinan untuk mengumpulnya sebagai sumber pendapatan,” kata Senin.

Menurutnya lagi, guano dijual dengan harga sekitar RM30 hingga RM50 sekilogram.

Katanya, harga seguni guano boleh mencecah sekitar RM300.

Sementara itu, Adeng menceritakan bahawa kebiasaanya pengumpul boleh memikul 2 guni guano anggaran berat 150 kilogram bagi satu perjalanan ke Pengkalan Lubang.

“Proses mengisi guano ke dalam satu guni cuma memakan masa 15 minit.

“Kemudiannya dipikul sehingga ke Pengkalan Lobang sebelum dijual di Batu Niah,” katanya yang merupakan pekebun kecil kelapa sawit.

Jelas Adeng lagi, kini beliau dan adiknya hanya mengumpul guano 5 kali (hari) dalam tempoh sebulan.

Ia berbeza ketika usia muda dimana mereka menjadikan ia sebagai pekerjaan utama.

Dalam pada itu Adeng berkata, kini hanya tinggal 6 hingga 7 orang sahaja pengumpul guano di Gua Niah.

Justeru katanya terdapat kebimbangan bahawa kaum Penan tiada lagi keistimewaan untuk melaksanakan pekerjaan tersebut.

“Anak-anak saya dan Senin tidak sanggup melakukan pekerjaan ini.

“Selepas tamat persekolahan, mereka memilih untuk bekerja di Miri dan Bintulu.

“Jika tiada lagi saya berdua, tiadalah lagi Penan mnegumpul guano di Gua Niah,” ujar Adeng. — DayakDaily

Advertisement