SEBUYAU, April 8: Program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Batang Lupar terus mendapat sambutan yang cukup hangat daripada penduduk setempat apabila lebih 1,000 orang membanjiri tapak jualan di situ hari ini.
Program kali ketiga itu bertempat di Sebuyau selepas diadakan di Pusa, Beting Maro dan Maludam.
Penyandang Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim turut berkesempatan berkunjung ke jualan yang bertempat di Dewan Pembangunan Sebuyau yang dikelola oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama FAMA dan pasaraya tempatan.
Promosi harga bagi barangan asas, bahan mentah dan runcit seperti tepung, ayam mentah, ikan segar, telur, beras dan minyak masak adalah antara yang dijual di bawah harga pasaran.
“Jualan Sentuhan Rakyat seperti ini menawarkan harga barangan asas yang rendah benar-benar memberi impak kepada rakyat setempat dalam meringankan perbelanjaan barangan dapur terutamanya kepada masyarakat luar bandar
“Ia juga merupakan janji kerajaan dalam mendahulukan rakyat serta menifestasi keprihatinan dalam mengurangkan bebanan rakyat dan kos sara hidup,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Barangan yang mendapat permintaan tinggi adalah seperti tepung gandum yang dijual serendah 15 sen untuk sekilo.
Selain itu, sebahagian daripada tiga tan barangan asas iaitu tepung, minyak dan gula turut disumbangkan oleh Rohani dengan harga terendah. — DayakDaily