LCDA wujudkan kilang keluar komponen rumah di Sejingkat

Abang Johari (tengah) menandatangani plaq Perasmian Kilang LCDA CTR Technology Sdn Bhd.

KUCHING, 6 Feb: Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA) pemain penting dalam menyediakan rumah mampu milik yang harganya bertepatan dengan kehendak rakyat Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kini LCDA (Holdings) berupaya membina rumah menggunakan kaedah Industrialised Building System (IBS).

Katanya, ia dengan terbinanya kilang LCDA CTR Technology Sdn Bhd di Sejingkat dengan kos RM29 juta.


“Saya difahamkan kilang ini mempunyai kawasan 7.2 ekar dan mereka juga mempunyai persijilan daripada SIRIM QAS International dari sudut pematuhan terhadap piawaian ISO 9000-1-2015.

“Ini bermakna persijilan ini mengakui atas kualiti produk yang dikeluarkan oleh LCDA CTR,” katanya di majlis perasmian kilang tersebut hari ini.

Tambah Abang Johari, kaedah IBS lebih kurang seperti pemasangan ‘lego’ yang diakui sangat mudah.

Katanya, kilang LCDA akan mengeluarkan komponen lantai dan dinding yang disiapkan bersama sambungan wayar serta paip air.

“Maknanya semua dalam satu pakej dan rumah yang dihasilkan memiliki kualiti,” katanya.

Menurut beliau lagi, komponen-komponen dari kilang LCDA akan digunapakai bagi membangunkan perumahan di kawasan Depo di Petra Jaya.

Ia juga digunapakai dalam pembangunan Skim Pembesaran Kampung di Buntal dan Bako di Santubong serta di Asajaya.

Jika berjaya katanya, LCDA berkemungkinan akan mewujudkan kilang yang sama di kawasan tengah Sarawak.

“Mungkin kita akan wujudkan di Bintulu atau Sibu.

“Produk ini kita boleh hantar ke kawasan luar bandar termasuk bagi membina rumah panjang,” kata Abang Johari.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. ā€” DayakDaily