Lawas dan Limbang sumber minyak dan gas Sarawak yang baharu

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Sept: Limbang dan Lawas pembekal sumber minyak dan gas baharu Sarawak yang bakal diterokai.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia akan memberi masa depan yang cerah kepada negeri ini.

Advertisement

“Ini adalah kerana kita (Sarawak) ada hak untuk melakukan pelombongan minyak dan gas.

“Ia bukan hak Petronas tetapi adalah hak mutlak Sarawak,” katanya pada majlis makan malam bersama masyarakat Lawas malam ini.

Dalam pada itu, Abang Johari membayangkan bahawa Sarawak akan terus menikmati pembangunan yang berterusan.

Katanya, ini berlaku dengan hasil Cukai Jualan (SST) terhadap produk minyak dan gas yang berjumlah RM30 bilion setahun.

Pada majlis yang sama beliau turut berpesan supaya rakyat Sarawak terus menjaga keharmonian negeri ini.

“Sarawak adalah negeri paling aman, kalau kita lihat Malaysia sekarang kelam kabut berebut-rebut hendak menjadi perdana menteri.

“Dari sudut pemerintahan, kita memberi keutamaan kepada rakyat,” ujar Abang Johari.

Pada majlis yang sama, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengajak rakyat agar terus menyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Jelas Awang Tengah, hanya GPS sahaja dapat menentukan hak-hak Sarawak dipelihara.

“Jangan mengharapkan orang lain yang hanya mahu ambil kesempatan dan memperalatkan kita.

“Kita harus sedar,” kata Awang Tengah yang juga ADUN Bukit Sari.-DayakDaily.

Advertisement