Lari dari polis kerana pandu kereta curi

Kelihatan polis menjalankan siasatan di lokasi kemalangan.

KUCHING, 14 Mac: Cubaan seorang lelaki melarikan diri kerana memandu kereta curi berjaya dipatahkan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak hari ini.

Ketua JSPT Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata suspek terdahulunya dilihat mencurigakan memandu sebuah kereta Perodua Kancil di Jalan Stephen Yong Link sekitar jam 12.30 tengah hari.

Katanya, anggota terbabit kemudian mengekori kereta suspek sebelum dia memecut laju melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis.


“Kereta suspek bagaimanapun terbabas di pembahagi jalan tidak jauh dari simpang lampu isyarat Jalan Moyan-Matang-Batu Kawa.

“Suspek iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun dari Kampung Sejijak telah berjaya ditangkap untuk siasatan lanjut.

“Manakala pemeriksaan awal juga mendapati kereta yang dipandu suspek pernah dilaporkan hilang di Sekama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan. — DayakDaily