KUCHING, 27 April: Larangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah penyebab murid-murid di sebuah sekolah asrama di Bahagian Serian tidak dibenarkan pulang bagi sambutan Good Friday lalu.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn, KKM membuat keputusan tersebut bagi mengelakan jangkitan baru Covid-19.
“Sebenarnya ia mengambil kira keadaan Covid-19 ketika itu maka KKM menerusi prosedur operasi standard (SOP) di mana murid yang tinggal di asrama lebih baik tidak payah pulang.
“Ini dibuat oleh KKM, dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akur dengan SOP yang dikeluarkan.
“Inilah yang sebenarnya berlaku dan adalah untuk mengelakan kluster baharu Covid-19,” ujar Sagah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sarawak Skills dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) di sini hari ini.
Tambah Sagah, ia adalah seperti keadaan ketika pandemik Covid-19 melanda negara 2 tahun yang lepas dengan pelbagai sekatan pergerakan telah dikenakan oleh pihak kerajaan.
“Seperti dahulu, sudah 2 tahun saya tidak merayakan Hari gawai dan Hari Krismas akibat Covid-19 ini.
“Ia adalah situasi yang sama dan kita terpaksa akur dengan SOP daripada kementerian kesihatan,” katanya.
Baru-baru ini MP Bandar Kuching Dr Kelvin Yii mempersoalkan isu tersebut dengan menyelar tindakan pegawai di jabatan pendidikan bahagian. — DayakDaily