Lapor terus polis jika benar ada kes atau cubaan culik

PDRM logo

KUCHING, 26 Sept: Laporkan terus kepada polis jika benar berlaku atau ada cubaan culik agar tindakan segera dapat diambil.

Tindakan menularkannya terlebih dahulu di media sosial dengan tanpa bukti yang sahih hanya akan menimbulkan kegelisahan dan panik di kalangan masyarakat.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata sebarang kenyataan yang disiarkan tanpa pengesahan serta bukti sahih boleh disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu kenyataan di media sosial yang mendakwa seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Batu 10 yang hampir menjadi mangsa kes culik.

Beliau dalam kenyataannya itu memberitahu pihaknya belum ada menerima sebarang maklumat atau laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Katanya, Guru Besar sekolah tersebut yang dihubungi untuk mendapatkan pengesahan juga menafikan bahawa beliau ada memberikan maklumat atau mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Justeru beliau memberitahu pihaknya amat mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil segera membantu siasatan. — DayakDaily