This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 25 Sept: Polis menerima tiga laporan berhubung dengan tawaran kerja dengan mangsa dipaksa bekerja sebagai scammer di Myanmar.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kes melibatkan 8 mangsa rakyat Sarawak.
“Laporan pertama dibuat pada 21 September 2023 yang melibatkan dua lelaki Melayu di Tanjung Manis, laporan kedua pada 22 September 2023 di daerah Julau mangsa adalah seorang lelaki Iban.
“Manakala laporan ketiga dari Daerah Sibu melibatkan 5 lelaki Cina.
“Kesemua mangsa mendapat tawaran pekerjaan melalui aplikasi media sosial Facebook untuk bekerja di Thailand dan ditawarkan gaji sekitar RM3,000 sehingga RM6,000 seorang,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambah Mohd Azman, maklumat yang diterima mangsa tidak mengetahui apakah jenis pekerjaan yang ditawarkan.
Kesemua mangsa berumur antara 25 tahun ke 35 tahun.
“Maklumat yang diterima juga mengatakan setibanya di Thailand, kesemua mangsa seterusnya dibawa ke Myanmar dan dipaksa bekerja sebagai scammer.
“Sekiranya mereka tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak majikan mereka akan didenda dan didera serta diugut akan dijual kepada ejen yang lain,” ujar beliau.
Menurut Mohd Azman lagi, kesemua mangsa tidak dibenarkan berhubung dengan mana-mana ahli keluarga dan mangsa hanya dapat menghubungi ahli keluarga secara bersembunyi.
Katanya, kes tersebut disalurkan ke pihak Interpol, Aseanapol bagi tujuan membantu untuk mengesan dan menyelamatkan mangsa-mangsa yang terlibat.
Pihak PDRM juga telah membuat pemakluman kepada Konsulat dan Kementerian Luar Negeri bagi membantu untuk mempercepatkan proses menyelamat dan usaha untuk membawa pulang kesemua mangsa yang terlibat. — DayakDaily