Lapan orang cedera, kemalangan di Jalan Sibu-Selangau

Keadaan Toyota Hilux yang terbalik dalam kemalangan tersebut.

SIBU, 23 Mei: Seramai lapan orang, termasuk tiga kanak-kanak mengalami kecederaan selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 40, Jalan Selangau-Sibu hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.57 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Perodua Bezza dengan Toyota Hilux dan ketika kejadian Perodua Bezza sedang menuju ke Selangau, manakala Toyota Hilux datang dari arah Selangau.

“Anggota bomba melalukan operasi menyelamat serta membawa
semua mangsa ke tempat selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya juga, lima mangsa dalam Perodua Bezza dan tiga lagi dalam Toyota Hilux.

“Mangsa-mangsa tidak tersepit dan hanya mengalami kecederaan ringan dan telah diberikan rawatan awal oleh pihak ambulan,” katanya.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.50 tengah hari setelah keadaan didapati terkawal. — DayakDaily