Lapan kru Kapal Bahagia Maju cemas, kapal dinaiki karam

Inilah kapal yang karam.

Oleh Dean Adam

SIBU, Jan 29: Lapan kru Kapal Bahagia Maju berdepan dengan detik mencemaskan apabila kapal yang dinaiki mereka karam di Kuala Sungai Rajang di sini hari ini.

Kejadian mencemaskan itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama (M), Robert Teh Geok Chuan berkata, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan telefon memaklumkan Kapal Bahagia Maju telah karam di lokasi 8BN dari Kuala Sungai Rajang.

Jelas beliau, seramai lapan mangsa berjaya menyelamatkan diri ke dalam rakit keselamatan.


“Berdasarkan laporan diterima, semua masih boleh dihubungi melalui telefon bimbit.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah diaktifkan pada pukul 7 pagi dengan KM Semilang (OSC) telah diarahkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teh menambah, keluasan sektor pencarian sekitar radius 5 BN persegi Utara Kuala Sungai Rajang.

Katanya, berdasarkan situasi terkini, semua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan SF1-4856 pada pukul 11.30 pagi.

“Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan mereka dibawa ke jeti terdekat di Kampung Kabong dan seterusnya akan dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. — DayakDaily