Lapan individu ditahan susulan penemuan mayat di sebuah rumah kosong di Lorong 5 Permyjaya

PDRM logo

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 29 Ogos: Polis di sini pada petang Ahad menahan tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan susulan penemuan satu mayat lelaki lelaki ditemukan di dalam sebuah rumah kosong di Lorong 5 di Permyjaya.

Mayat lelaki warga tempatan itu yang hanya berseluar pendek telah ditemui terbaring oleh orang awam yang kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis.


Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan akhbarnya hari ini mengesahkan menerima pangilan tentang penemuan mayat itu pada jam 4.30 petang semalam (Ahad).

“Kesemua suspek berusia di antara 26 dan 50 tahun telah ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah Miri untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Alexson berkata, kecederaan yang dikesan setakat ini cuma cedera lebam di bahagian dahi kepala.

Kes ini diklasifikasi dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu pihak Polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Noor Asri Ibrahim di talian 085-427093 untuk menyalurkan maklumat berkaitan. — DayakDaily