Lantik syarikat isteri, abang dan adik ipar, penolong jurutera diberkas SPRM

Malaysian Anti-Corruption Commission logo

KUCHING, Ogos 15: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak hari ini menahan seorang penolong jurutera awam yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan negeri selepas disyaki terlibat salah guna kuasa dan membabitkan wang sebanyak lebih RM40,000 pada tahun 2016.

Sumber berkata, individu lelaki berusia 48 tahun itu ditahan kira-kira pada pukul 3.50 petang di Pejabat SPRM Sarawak ketika hadir memberi keterangan.

Tambah sumber, hasil siasatan awal mendapati suspek disyaki menyalahgunakan kuasa dengan memohon syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya bagi melakukan kerja-kerja berkaitan penyelenggaraan sistem perairan luar bandar di Bau, Lundu dan Sematan pada 2016.


“Siasatan mendapati semua pembayaran bagi enam kerja tersebut dilakukan ke dalam akaun syarikat milik isteri, abang ipar dan adik iparnya,” kata sumber hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor mengesahkan tangkapan individu berkenaan.

Jelasnya, suspek terbabit akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuching di sini esok.

“Suspek ditangkap mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” ujarnya. — DayakDaily