Suspek bunuh penjawat awam wanita disambung reman tujuh hari

Suspek (tengah) disambung reman tujuh hari bagi bantu siasatan kes bunuh seorang penjawat awam wanita di Sibu.

SIBU, Ogos 15: Tempoh tahanan reman suspek kes bunuh seorang penjawat awam wanita di Jalan Tiong Hua di sini pada Ogos 2 lepas dilanjutkan selama tujuh hari lagi bermula hari ini.

Permohonan lanjut reman itu dikeluarkan oleh Majistret Muhammad Faizal Che Saad di Mahkamah Majistret Sibu di sini hari ini.

Tempoh lanjutan reman itu bermula Ogos 15 hingga 22 depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

DayakDaily sebelum ini melaporkan, suspek, 42, telah ditahan polis di sebuah rumah panjang di Julau pada Ogos 7 lepas selepas disyaki membunuh, seorang petugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26.

Wanita malang berkenaan dijumpai mati dalam keadaan kaki dan tangannya diikat di bilik sewanya di Jalan Tiong Hua di sini.


Suspek berjaya dikesan dan diberkas hasil maklumat yang diterima daripada penduduk rumah panjang berkenaan.

Semasa tangkapan itu, suspek telah bertindak meminum racun di dalam sebuah tandas di rumah panjang tersebut.

Suspek cuba untuk membunuh diri selepas menyedari kehadiran pasukan polis.

Namun, dia telah memuntahkan racun berkenaan sebelum polis membawanya ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut. — DayakDaily