Ibubapa disaran mengawasi anak perempuan bawah umur supaya tidak terlibat dalam “ladies night”

Fatimah (duduk tengah) ketika mengadakan sidang media selepas menghadiri Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) Peringkat Negeri 2018 di Kuching.

KUCHING, Ogos 14: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak meminta ibubapa di negeri ini mengawasi anak remaja perempuan mereka dari terbabit gejala sosial baru iaitu mengunjungi malam pesta “ladies night” yang dihebohkan melalui laman sosial.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian kerana khuatir remaja perempuan bawah umur terbabit akan terlanjur dengan pasangan ketika menghadiri pesta itu sehingga menjadi hamil.

“Sehubungan itu, ibu bapa dan orang ramai harus menyedari yang ada sesetengah tempat yang menganjurkan malam pesta ‘ladies night’ ini dan kalau ada remaja perempuan bawah umur mengunjunginya maka mereka berisiko tinggi (menjadi remaja hamil) kerana aktiviti malam itu ada membabitkan perkara yang boleh menjurus kepada keterlanjuran,” katanya pada sidang media media selepas Mesyuarat One Stop Teenage Pregnancy Committee (OSTPC) Peringkat Negeri 2018, di sini, hari ini.


Fatimah berkata remaja perempuan yang mengunjungi pesta itu juga dikhuatiri mungkin mengambil minuman keras atau tidak menyedari ada pihak mengambil kesempatan memasukkan bahan tertentu kedalam minuman mereka yang membuatkan remaja terbabit tidak sedar diri dan kemudian terlanjur sehingga hamil.

“Setakat ini, kami tidak ada statistik mengenai kes remaja perempuan yang hamil di negeri ini setelah mengunjungi malam ‘ladies night’ ini, kerana kami baharu saja diberitahu tentang gejala sosial baru ini pada mesyuarat ini,” katanya.

Pihaknya bagaimanapun ada dimaklumkan biasanya malam pesta ‘ladies night’ di negeri ini akan diadakan setiap Rabu dan Sabtu dengan maklumatnya akan disebarkan kepada semua yang berminat menyertainya melalui laman sosial dan pesta itu bukan sahaja ada diadakan di kawasan bandar malahan kini semakin berleluasa di luar bandar.

“Malam pesta ‘ladies night’ juga bukan sahaja diadakan di tempat hiburan tetapi juga tempat biasa lain dan bukan sahaja boleh dihadiri remaja perempuan tetapi sesiapa sahaja dengan pesta ini akan terlebih dahulu dihebohkan kepada semua melalui laman sosial,” katanya.

Sementara itu, Fatimah mendedahkan Sarawak masih negeri kedua tertinggi kes remaja hamil di negara ini tahun lepas dengan keseluruhannya ada sebanyak 2,130 kes, manakala dari Januari hingga Jun tahun ini telah mencatatkan sebanyak 973 kes remaja hamil.

Statistik bagi tempoh tersebut juga mendedahkan Kuching paling banyak kes kehamilan remaja dengan sebanyak 224 kes, diikuti Miri (138 kes), Sibu (129 kes), Bintulu (98 kes) dan Kapit (81 kes).

“Kuching tertinggi bilangan kes sepanjang tempoh terbabit kerana populasi penduduknya paling tinggi, namun kalau dari segi peratusan atau bilangan kes remaja hamil dibandingkan bilangan ibu hamil dan mengandung yang ke hospital maka kawasan Kapit tertinggi dengan sebanyak 11.9 peratus,” katanya dengan kedua tertinggi ialah Sri Aman (9.1 peratus) dan ketiga tertinggi ialah Sarikei (8.2 peratus).

Sementara itu mengenai golongan LGBT di negeri ini, Fatimah berkata pihaknya tidak akan menghalang golongan terbabit dari menyertai kursus kemahiran yang ada disediakan kementerian terbabit malahan mendedahkan golongan itu yang dikenali dengan istilah “pondan” pernah menjadi pelajar terbaik kursus itu dalam bidang jahitan pakaian.

“Maka, saya rasa kalau dari segi mendapatkan kemahiran dan pendidikan sepatutnya tidak ada sebarang diskriminasi terhadap golongan terbabit supaya mereka dapat berdikari dan mendapat pekerjaan,” katanya dan menyatakan demikian berdasarkan pandangan seorang pendidik yang tidak melihat jantina dalam memberi peluang pendidikan.

Malahan ketika menjadi guru besar sebelum ini, Fatimah mendedahkan ada ibu bapa sehingga datang bertemunya bagi meminta beliau membantu menasihatkan anak lelaki mereka yang gemar berpakaian perempuan setelah pulang dari sekolah.

“Sekarang ada orang berpendapat kita mesti menerima golongan ini yang dahulu sesuatu yang tidak boleh diterima. Bagaimanapun sekarang menjadi isu pula mengenai tandas lelaki atau wanita yang sepatutnya digunakan golongan terbabit,” katanya.

Manakala isu tandas itu, beliau tidak mahu mengulas mengenainya kerana tidak tahu penyelesaian isu itu dan menyerahkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa berkaitan tandas di negeri ini. — DayakDaily