Langgar syarat lesen, dua bot nelayan ditahan di Miri

Kelihatan dua bot yang ditahan dalam operasi tersebut.
Advertisement

MIRI, 18 April: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri menahan dua bot nelayan tempatan Kelas C di perairan Miri pada jarak lebih kurang 7 batu nautika dari utara Kuala Baram semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata penangkapan dibuat selepas didapati mereka melakukan kesalahan menjalankan aktiviti perikanan di zon larangan.

Jelas beliau kedua-dua bot tersebut didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari jarak yang ditetapkan pada syarat sah lesen atau lebih dikenali dengan penangkapan ikan secara “tarik tepi” oleh komuniti maritim setempat.

Advertisement

“Aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Permai telah mengesan dan menahan kedua-dua bot nelayan tersebut yang sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan sekitar jam 10.35 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot disyaki telah melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari 12 batu nautika sepertimana yang ditetapkan di dalam buku lesen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua bot nelayan tersebut dikendalikan oleh sembilan orang kru termasuk tekong yang kesemuanya lelaki warga Indonesia.

“Siasatan lanjut mendapati mereka berumur dalam lingkungan 25 hingga 55 tahun serta mempunyai passport pengenalan diri dan permit pekerjaan yang sah,” katanya lagi.

Kesemua kru, dua bot serta hasil tangkapan dianggarkan lebih kurang 900 kilogram ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kg. Pulau Melayu, Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah pada lesen.

“Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan mengalu-alukan sebarang aduan mengenai sebarang kegiatan kesalahan di laut,” ujarnya.

Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk sebarang laporan di perairan negeri. — DayakDaily

Advertisement