Laluan titian kayu ke pusat membuang undi di SK Rumah Tinggi Kelitang, tiba-tiba runtuh

Titi kayu sepanjang 20 kaki telah runtuh secara tiba-tiba menyebabkan tiga cedera ringan.

MIRI, 18 Dis: Tiga dilaporkan mengalami kecederaan ringan apabila sebuah titi kayu laluan menuju pusat membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rumah Tinggi Kelitang, Bekenu, tiba-tiba runtuh hari ini semasa hari membuang undi.

Difahamkan beberapa pengundi sedang beratur untuk membuang undi semasa titi kayu tersebut runtuh secara tiba-tiba sekitar jam 9 pagi.

Menurut Ketua Balai Bomba Batu Niah, Rary Binjie, kesemua mangsa mengalami kecederaan ringan akibat tergelincir sebaik sahaja titi kayu sepanjang 20 kaki tersebut runtuh.


Sepasukan anggota bomba diketuai Rary telah bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati titian yg digunakan sebagai laluan ke tempat mengundi telah condong menyebabkan titian tersebut tidak sesuai dan tidak selamat dilalui,” ujarnya.

Namun begitu orang ramai telah menggunakan laluan alternatif untuk ke tempat mengundi.

Susulan kejadian dan sebagai langkah keselamatan, bomba telah menasihati orang awam agar tidak berbaris di titian serentak dengan ramai bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. ― DayakDaily