Oleh Dean Adam
TATAU, Dis 10: Para pengguna jalan raya yang menggunakan laluan dari Sibu ke Miri diingatkan berhati-hati dan berwaspada susulan laluan di KM49, Tatau-Bintulu terjejas akibat kejadian tanah runtuh, petang tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, kejadian tanah runtuh itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.30 petang.
Jelasnya, insiden berkenaan telah mengakibatkan berlakunya kesesakan lalu-lintas membabitkan laluan berkenaan.
“Sehubungan itu, para pengguna jalan raya diminta menggunakan laluan alternatif bagi mengelak kesesakan dan kejadian tidak diingini.
“Mereka (pengguna jalan raya) dinasihatkan agar menggunakan laluan altenatif iaitu jalan Kuala Balingian, Kuala Tatau dan Jepak, bagi ke destinasi masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, buat masa ini pihak kontraktor yang melibatkan projek lebuh raya Pan Borneo itu masih melakukan kerja-kerja membaiki laluan terputus berkenaan. — DayakDaily