LAKMNS agih lebih 30,000 bubur lambuk sekitar Kuching

Mohd Feizal (dua kiri) turut serta menyediakan bubur lambuk di perkarangan Masjid Jamek Sarawak

KUCHING, 11 April: Lebih 30,000 bubur lambuk telah diagihkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) kepada orang ramai di sekitar Kuching selama 10 hari yang berakhir petang ini.

Timbalan Ketua Pegawai LAKMNS Mohd Feisal Said berkata, pengagihan bubur lambuk secara pandu lalu telah diadakan di Masjid Jamek Kuching dan Masjid Bandaraya Kuching selepas solat Asar bermula 2 April lalu.

Program pengagihan merupakan acara tahunan yang dikendalikan oleh Jabatan Pengurusan Masjid-Masjid (JPMM) LAKMNS sempena bulan Ramadan.


“Malah selama 10 hari tersebut, kita telah menyediakan sebanyak lapan periuk besar bubur lambuk dengan enam periuk diagihkan di Masjid Jamek Kuching sementara dua lagi diagihkan di Masjid Bandaraya Kuching,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Pengagihan Bubur Masja dan Program Solidariti Ramadan Perkeso – LAKMNS di perkarangan Masjid Jamek Sarawak di sini.

Program Solidariti Ramadan yang turut berlangsung hari ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kolaborasi pihak masjid.

Perkeso turut menyumbang satu periuk besar bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai secara pandu lalu di Masjid Jamek Kuching di sini. — DayakDaily