LAK gerakan lori tangki air ke Petra Jaya dan Asajaya

File photo for illustration purposes only.

KUCHING, 17 April: Bantuan bekalan air melalui lori tangki air sedang digerakkan ke kawasan-kawasan terlibat sekitar Petra Jaya hingga ke Asajaya.

Lembaga Air Kuching (LAK) dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia bagi membantu pengguna yang terjejas berikutan gangguan bekalan air.

Katanya, gangguan disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah kerja-kerja penggisian tangki air aras tinggi (HLT) dan pengujian pam Semarang oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Paras air di tangki air di Bukit Siol, Datu Muda dan juga Entinggan yang berkurangan akibat permintaan air yang lebih tinggi.

“Dan penggunaan bekalan air yang tinggi semasa musim perayaan dan musim panas,” katanya.

Justeru LAK menasihatkan semua pengguna bekalan air supaya berhemah dalam menggunakan air semasa musim panas ini.

Elakkan pembaziran dan penggunaan air untuk tujuan yang kurang penting supaya sumber air yang ada akan dapat bertahan lebih lama.

Aduan atau pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi KWB Call Centre di talian. 082-222333 atau SMS ke 019-8866650. — DayakDaily