Lagi kes penipuan babitkan kerugian RM4,560

Royal Malaysia Police logo

SRI AMAN, Okt 14: Lagi kes penipuan sindiket ‘parcel scam’ atau kiriman bungkusan melibatkan warga pendidik.

Kes terbaharu melibatkan kerugian RM4,560 dilaporkan membabitkan seorang guru wanita berusia 27 tahun di Sri Aman, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, SUPT Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kejadian itu dilaporkan berlaku antara Sept 25 hingga 26 lepas.


Menurutnya, sebelum itu mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya dari Eropah melalui laman Facebook.

“Selepas perkenalan tersebut, lelaki berkenaan kemudian mengatakan dia akan menghantar bungkusan hadiah kepada mangsa.

“Suspek seterusnya memberitahu untuk mengambil barangan itu mangsa perlu membayar caj penghantaran hadiah tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, tanpa berfikir panjang mangsa telah melakukan satu transaksi online banking melalui akaun CIMB Bank miliknya sebanyak RM1,000 ke akaun milik Gesiah Been untuk bayaran courier.

Katanya, selepas itu, mangsa kemudian menerima WhatsApp dari nombor telefon 01161177617 mengatakan dari Easy Way Link Courier Service Company dan memberitahu mangsa perlu membuat bayaran tambahan untuk mendapatkan bungkusan hadiah tersebut.

“Mangsa yang tidak sedar ditipu telah memasukkan sekali lagi wang berjumlah RM3,560 ke dalam akaun suspek.

“Selepas tidak menerima sebarang respon atau hadiah daripada suspek, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis bagi siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily