Lagi kes ‘Macau scam’, suri rumah melayang duit RM18,750

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 18: Kes penipuan ‘Macau scam’ di negeri ini bagaikan tiada penghujungnya apabila terus memerangkap mangsa dengan terbaharu melibatkan seorang suri rumah yang kerugian RM18,750.

Kejadian membabitkan wanita berusia 29 tahun itu dilaporkan berlaku antara Oktober 12 hingga 15 lepas.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dan bernama Mikael Mokhtar pada Oktober 12 lepas.

Jelasnya, suspek berkenaan kemudian mendakwa mangsa ada melakukan pinjaman peribadi di Hong Leong Bank dan terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram.

“Mangsa seterusnya telah diarah untuk memasukkan wang untuk menyemak aset yang ada serta semakan siri nombor cetakan wang haram yang diketuai oleh lelaki bernama David Lee.

“Kemudian mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak RM18,750 melalui sistem perbankan dalam talian ke akaun CIMB suspek,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mustafa menambah, mangsa yang menyedari dirinya tertipu kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya lagi. — DayakDaily