Lachau tempat persinggahan pilihan untuk yang pulang untuk Hari Gawai, Raya

Pekan Lachau yang sesak dengan kenderaan.
Advertisement

KUCHING, Mei 30: Kurangnya tempat berhenti dan berehat mengunakan kenderaan ketika melalui Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dinaiktaraf dari Serian hingga Sri Aman menjadikan pekan Lachau persinggahan utama bagi orang ramai yang pulang meraikan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri ini.

Tinjuan Selasa lepas mendapati keadaan pekan tersebut yang terletak 141 kilometer dari Kuching sesak dengan orang ramai mengunakan kenderaan untuk berhenti dan berehat seketika sebelum menyambung perjalanan pulang ke kampung atau rumah panjang bagi menyambut dua perayaan utama itu.

Ramai memilih untuk singgah berhampiran pasar tamu dan tandas awam di pekan kecil itu sehingga sukar mencari tempat pakir kenderaan sekitar kawasan itu yang juga menjadi tumpuan disebabkan banyak gerai dan kedai menjual makanan.

Advertisement

Jeffry Suka, 30, dari Asajaya berkata beliau memilih singgah di Lachau walaupun sesak kerana lebih mudah bagi mencari barangan makanan bagi mengisi segera perut yang lapar samada di gerai atau kedai makan berhampiran atau mencari barangan makanan di pasar tamu bagi dibawa pulang ke rumah panjang.

Deretan kedai dan gerai menjual makanan di pekan Lachau.

“Terdapat pelbagai barangan makanan seperti ikan masin, buah-buahan dan sayur-sayuran malahan juga pakaian tradisional Iban ada di pasar tamu kecil di pekan ini bagi dibawa pulang ke rumah panjang nanti,” katanya yang sedang dalam perjalanan ke rumah panjang saudaranya di Rumah Lutang, Sengelau Undop, Sri Aman.

Beliau bagaimanapun mahu pihak majlis daerah kawasan itu memantau keadaan tandas awam pekan itu yang menjadi antara tempat utama dikunjungi orang ramai yang singgah di pekan itu kerana tiada bekalan air.

“Saya agak terperanjat mengunakan tandas awam terbabit tadi kerana tiada bekalan air; nasib baik kedai makan di sini mempunyai tandas yang baik dan ada bekalan air,” katanya yang juga meminta ahli keluarganya mengunakan tandas di kedai makan itu sebelum mereka meneruskan perjalanan. — DayakDaily

Advertisement