KWKPK anjur Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Prasekolah 2021 pada Oktober

Fatimah (atas, empat dari kiri) pada perasmian Bengkel Pra-Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Prasekolah Tahun 2021 melalui Aplikasi Google Meet.

KUCHING, 26 Jun: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) akan menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Prasekolah 2021 pada 1 hingga 3 Oktober ini.

Menterinya Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia demi memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas penting dalam membentuk modal insan yang cemerlang dan berkualiti.

“Penganjuran bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kefahaman para pendidik tentang asas pembentukan watak insan dalam kalangan kanak-kanak.


“Mengenal pasti cabaran dalam membentuk watak insan, bakat, minat dan potensi kanak-kanak semasa pandemik Covid-19.

“Dan meningkatkan kemahiran pendidik dalam norma baharu untuk menanam dan memupuk perkembangan rohani, kognitif, sosial, fizikal dan emosi kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Fatimah hari ini merasmikan Bengkel Pra-Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Prasekolah Tahun 2021 melalui Aplikasi Google Meet.

Menerusi bengkel itu, beliau berharap para peserta bengkel berkongsi amalan terbaik atau memberikan cadangan pendekatan atau aktiviti yang boleh dilaksanakan.

Katanya, ia bagi membantu bukan sahaja mendidik anak-anak, malah menyemai nilai-nilai murni di kalangan anak-anak ini dalam situasi masa kini. — DayakDaily