Kutipan cukai pelancongan untuk taman negara di Sarawak bermula Feb 1

Notis mengenai cukai pelancongan yang akan mula dikutip di taman negara di negeri ini mulai Februari 1, 2019 disiarkan laman Facebook Sarawak Forestry.

KUCHING, Jan 31: Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengumumkan yang cukai pelancongan akan mula dikutip di taman negara di negeri ini mulai Februari 1, 2019.

Notis pelaksanaan cukai tersebut telah disiarkan di laman Facebook Sarawak Forestry hari ini.

Mengikut notis itu, berdasarkan Bahagian III, Akta Cukai Pelancongan 2017, cukai tersebut dikenakan terhadap pelancong yang menginap di mana-mana premis penginapan di Malaysia.

Dibawah undang-undang itu, ianya menjadi tanggungjawab pelancong untuk membayar cukai itu kepada pihak pengurusan taman.

Tetapi warga negara Malaysia yang memegang MyKad atau pemastautin tetap dengan kad MyPR adalah dikecualikan dari dikenakan cukai terbabit.


Dengan perlaksanaan cukai itu, sebanyak RM10 semalam bagi setiap bilik akan dikutip dari semua warga negara bukan Malaysia atau tetamu pemastautin tetap bukan Malaysia.

Sehubungan itu SFC, meminta semua pelancong asing yang akan bermalam di premis dalam taman negara di negeri ini untuk mengemukakan pasport mereka di kaunter pendaftaran taman negara terbabit. — DayakDaily