Dua pemandu lori cemas terlibat dalam kemalangan

Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang cedera.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Jan 31: Dua pemandu lori berdepan detik mencemaskan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Nyabau di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.05 malam itu mengakibatkan kedua-dua pemandu kenderaan berat tersebut cedera.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.07 malam.

Katanya, sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian mendapati kemalangan itu melibatkan masing-masing sebuah lori membawa muatan barang dan lori membawa muatan minyak sawit.

“Kemalangan itu juga telah mengakibatkan pemandu lori yang membawa muatan barang tersepit.

“Pasukan bomba kemudian menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, mangsa kemudian diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS seterusnya dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan seterusnya.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 8.44 malam,” katanya. — DayakDaily