Kurang 5 jam kereta dicuri, polis menahan suspek selepas aksi kejar mengejar

Suspek (duduk) ditahan pihak Polis selepas kereta yang dipandunya berjaya dihalang di persimpangan masuk ke Taman Tunku tengahari tadi sekitar jam 1 petang.

Oleh Brad Rantay

MIRI, 14 Okt: Aksi kejar mengejar hampir 15 minit antara sebuah kereta jenis Perodua Kelisa berwarna kuning yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun dan polis berakhir apabila dia berjaya ditahan di hadapan simpang masuk ke Taman Tunku siang tadi.

Suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.


Sebaik sahaja pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri menghalang kenderaan dinaiki suspek, polis mengarahkannya keluar menyerah diri, namun suspek enggan, sebaliknya mengunci pintu dari dalam.

Tindakan suspek telah memaksa pihak polis memecahkan cermin tepi kenderaan tersebut untuk menangkap suspek yang disyaki telah melarikan kereta tersebut dari sebuah pasaraya di Lutong, awal pagi tadi (14 Oktober).

Tangkapan dilakukan lima jam selepas kereta tersebut dilaporkan telah hilang disyaki dicuri.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, kereta tersebut telah dilaporkan dilarikan sekitar jam 8 pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan motor. — DayakDaily