Kuih muih tradisi dan moden pastinya hidangan istimewa Gawai

Ana Sandra Sindir menunjukkan cara membuat kuih sepit yang dibakar atas arang.

KUCHING, 24 Mei: Berikutan perayaan Gawai Dayak tinggal beberapa hari lagi, kaum Dayak di bandar raya ini yang tidak pulang ke kampung atau rumah panjang kerana Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) sudah mula sibuk membuat persiapan menyambut perayaan itu.

Antaranya, Angeng Angkahong,58, berasal dari Kampung Melanjok di Simunjan sudah sibuk membuat pelbagai jenis kuih muih tradisi dan kuih moden bersama anaknya Marry Chin,25, cucunya, Aliciana Kian Ann,16, dan menantunya, Ana Sandra Sindir, 34.

Aliciana Kian Ann menunjukkan kuih lidah yang dimasaknya.

“Hari ini sudah tiga hari berturut-turut kami bersama membuat pelbagai jenis kuih muih bagi meyambut perayaan Gawai nanti. Antara kuih sepit, penganan jala, kuih bahulu, kuih chap, kuih lidah dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui DayakDaily di kediamannya di Stapok, Batu kawa, di sini, hari ini.


Angeng berkata asalnya mereka membuat kuih muih itu bagi dihidangkan kepada keluarga sendiri sahaja tetapi kemudian ramai rakannya yang juga menyambut perayaan itu di bandar raya ini tiba-tiba berminat menempah kuih itu dari mereka.

Ini menyebabkannya perlu membuat semua kuih muih terbabit sekitar 10 kilogram bagi menampung kesemua tempahan berkenaan dan setakat ini sudah mengeluarkan modal sebanyak RM200 bagi membeli bahan membuatnya.

“Selain dapat membantu rakan lain membuat persiapan dari segi bekalan kuih muih Gawai Dayak. Saya juga mahu menurunkan kemahiran membuat kuih tradisi seperti penganan jala kepada anak, cucu dan menantu supaya tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini kemahirannya membuat kuih tradisi itu dipelajari dari ibunya mendiang Christina Bell manakala ibunya telah mewarisi kemahiran itu dari mendiang nenek mereka, Sebah Jebi. – DayakDaily