SIBU, 23 Mac: Masyarakat Tiong Hua di Sibu mengelar kuih apam balik dengan panggilan ‘moon’ (bulan).
Uniknya, di Pasar Malam Sibu ia dijual dalam tiga saiz dan antara produk makanan yang sangat laris.
Dengan kerangupan dan kelazatannya, kuih apam balik ‘Big Moon’ dijual dengan harga RM4 manakala ‘Small Moon’ dan ‘Half Moon’ dijual dengan harga RM1.
Bagi pengemar kuih moon, sudah tentu Pasar Malam Sibu di Jalan Cross merupakan pilihan tepat untuk dikunjungi.
Dalam pada itu, pasar yang terletak bersebelahan dengan Market Sentral Sibu ini menjual pelbagai produk makanan.
Walaupun telah sekian lama beroperasi, pasar ini tetap menjadi pilihan penduduk tempatan dan pengunjung.
Kebiasaannya setiap hari, setelah tamat waktu bekerja jam 5 petang, ia akan mula dikunjungi mereka yang ingin mencari juadah untuk makan malam.
Sementara itu, peniaga gerai Ah Bee ketika ditemui dayakdaily berkata, di hari yang baik, produk makanan beliau akan habis dijual.
Beliau menjual makanan tempatan seperti menjual roti ‘pau’, bachang, sio bee dan pompia.
Selain itu, makanan halal seperti lauk pauk turut laris di Pasar Malam Sibu. — DayakDaily