Kucing ‘Kahlua’ meletakan Sarawak di peta dunia

Cheah (dua dari kiri) bersama Kahlua di sidang media di Kuching hari ini. Turut kelihatan Dr Yii (kiri) dan Chong (dua dari kanan)
Advertisement

0leh Chris Bishop

KUCHING, Jun 16: Kucing bernama Kahlua dari Sarawak meletakkan negeri ini di peta dunia setelah memenangi kejohanan antarabangsa ‘Best Maine Coon’ pada April lepas.

Dianjurkan Persatuan Peminat Kucing (CFA), Kahlua yang berumur setahun lima bulan turut memenangi pelbagai anugerah dalam kelas persaingan yang lain disepanjang pertunjukan kucing pada tahun ini di seluruh dunia.

Advertisement

Kahlua juga meraih gelaran Kucing Terbaik Malaysia dan satu-satunya kucing Malaysia yang tersenarai 10 kucing terbaik di Kejohanan Baka Antarabangsa bersaing dengan kucing dari negara seperti Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Filipina.

Kuching peliharaan Cheryl Cheah ini juga meraih tempat kedua di pertandingan Kelas Warna Antarabangsa.

Menurut Cheah di sidang media yang diadakan di IbuPejabat DAP Negeri di sini hari ini, pencapaian itu merekodkan sejarah pertama kucing Malaysia Timur memenangi anugerah tersebut.

“Pertunjukan kucing antarabangsa kerap didominasi oleh kucing dari Semenanjung Malaysia dan negara-negara yang lain.

“Untuk menang dengan membawa pulang empat anugerah dalam pertandingan ini adalah satu kebanggaan,” ujarnya.

Cheah yakin kucingnya memiliki peluang cerah untuk menang pada pertandingan yang lain berdasarkan markah yang diperolehi dalam pertunjukan sebelum ini.

Namun katanya, urusan pasport kucing menjadi penghalang untuk kucing beliau bertanding terutamanya untuk pertandingan di Terengganu pada bulan Julai ini.

Sehubungan dengan itu, Cheryl akan memohon kepada kerajaan negeri untuk mengeluarkan pasport kucing untuk memudahkan urusan perjalanan kucingnya menyertai pertunjukan di luar.

“Pasport untuk tempoh sah setahun memadai untuk kucing saya dan mengharapkan kerajaan negeri dapat mengeluarkan pasport ini,”katanya.

Sebagai mengiktiraf pencapaian tersebut, Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Stampin, Dr Kelvin Yii dan Chong Chieng Jen masing-masing menyumbang RM1,000 kepada Cheah.

Chong turut menyokong aktiviti berkaitan kucing dan menyumbang RM5,000 kepada Kelab Kucing Jalanan Sarawak.

Sebahagian daripada sumbangan tersebut akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan pertanding Kahlua. — DayakDaily

Advertisement