KUCHING, 1 Jan: Bandaraya Kuching dipilih sebagai tuan rumah Perhimpunan Agung Ke-19 Majlis Dakwah Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) yang akan diadakan pada 3 Januari depan.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Setiausaha Agung RISEAP Dato Marzuki Omar berkata, sebanyak 20 daripada 24 delegasi negara-negara ahli RISEAP akan berkampung selama lima hari dari 1 hingga 5 Januari di sini bagi perhimpunan berkenaan.
Katanya, perhimpunan itu akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelas Marzuki, program itu kembali diraikan secara fizikal setelah dua tahun penutupan sempadan antarabangsa dan sekatan perjalanan yang ketat susulan pandemik Covid-19.
“Objektif RISEAP diadakan untuk memupuk perpaduan dan kerjasama di kalangan pertubuhan Islam di dalam negara yang sama dengan negara luar di rantau Asia Tenggara dan Pasifik,” jelas beliau dalam sidang media di Kuching pada Sabtu.
Tambah beliau, ia juga membantu dan menyokong pertubuhan ahli dalam menyediakan pendidikan yang mencukupi dan sistematik untuk minoriti Islam.
“Enam bidang tumpuan bagi RISEAP antaranya Pensijilan Halal, Tempat Ibadat (Musollah), Pembaharuan Kepimpinan, Pengurusan Kewangan Dengan Berdikari, Pendidikan dan Dakwah serta Hubungan Baik Antara Kaum,” ujarnya.
RISEAP yang ditubuhkan pada 11 November 1980 merupakan hasil cetusan idea Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan kini diterajui oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Ianya melibatkan 17 negara pertubuhan ahli daripada Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Myanmar, Malaysia, Thailand, Filipina, Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, Papa New Guinea, New Caledonia, Australia, Fiji dan New Zealand.
Tambah Marzuki, program selama lima hari tersebut turut diisi dengan lawatan ke Kampung Budaya Sarawak, Muzium Kebudayaan Sarawak, Masjid Terapung, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk mempromosikan pelancongan di Sarawak. — DayakDaily