Dua maut dalam kemalangan di Kpg Menjau, Padawan

Keadaan satu daripada motosikal mangsa.

KUCHING, 1 Jan: Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Kampung Menjau, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 3.25 pagi.

Katanya, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Augustine Julia,19 tahun dari Kampung Siga, Siburan dan Lopez Sauko Desnie,21 tahun dari Kampung Petag, Batu 14 Jalan Penrissen.


“Kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa (Augustine) dari arah Kampung Menjau menuju ke Tabuan Rabak telah bertembung dengan mangsa (Lopez) yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran tersebut menyebabkan seorang daripada mangsa (Augustine) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siasatan lanjut berhubung kes tersebut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kedua-dua kenderaan juga dibawa ke Balai Trafik IPD Padawan untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily