Kuching Marathon 2019 terima sambutan hangat

Abdul Karim (duduk tiga kiri) bersama pihak penganjur mempamerkan jersi KM2019 di sidang media.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Julai: Acara larian antarabangsa, Kuching Marathon 2019 (KM2019), pada 18 Ogos ini telah menerima sambutan memberansangkan daripada peserta dalam dan luar negara.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, setakat ini jumlah peserta yang telah mendaftar mencecah 9,000 orang.

Advertisement

“Penganjur ada sebulan setengah lagi sebelum acara larian antarabangsa ini berlangsung dan saya menjangkakan jumlah akan bertambah dalam tempoh ini.

“Jumlah penyertaan mungkin akan mencecah 11,000 sehingga 15,000,” katanya di sidang media yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.

Seperti penganjuran di tahun-tahun lepas, Abdul Karim kata edisi keenam tahun ini tidak ketinggalan menarik penyertaan pelumba-pelumba dari dalam dan negara luar.

“Setakat ini, kita telah menerima penyertaan dari negara Brunei, Kanada, China, India, Indonesia, Jepun, Kenya, New Zealand, Singapura, Philipin, Thailand, England dan Amerika Syarikat,” kata beliau.

Dalam pada itu, larian akan dimulakan dengan pelepasan peserta bagi kategori 42 kilometer (km) pada jam 1 pagi, diikuti kategori 21km pada jam 4 pagi dan kategori 10km dan 5km masing-masing pada jam 5.30 pagi dan 6.30 pagi.

Keempat-empat kategori akan bermula dan berakhir di Padang Merdeka.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka hadir untuk menyempurnakan pelepasan bagi salah satu kategori, tambah beliau.

Dianjurkan Persatuan Kuching Marathon dengan sokongan kerajaan negeri dan penaja-penaja lain, KM2019 menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Untuk kategori utama iaitu 42km, pemenang lelaki dan wanita terbuka bakal menerima RM9,000 dan untuk peringkat kebangsaan pemenang bakal menerima RM5,000 (lelaki dan wanita).

Manakala, pemenang kategori veteran 42km lelaki dan wanita bakal menerima RM2,000. — DayakDaily

Advertisement